Tuesday, April 25, 2006

Teguh pendirian ketika mendapat cubaan

Teguh Pendirian Ketika Mendapat Cubaan..

Oleh: Ustaz Dr. Abdullah Yasin

Sungguh menakjubkan (hebat) urusan orang yang beriman; Sesungguhnya semua urusannya adalah baik belaka; Tidak seorangpun yang memiliki sifat itu kecuali orang yang beriman (iaitu) sekiranya dia mendapat kesenangan dia bersyukur, dan (sikap) demikian itu baik baginya; Dan sekiranya dia ditimpa musibah (bencana) dia dapat bersabar, dan (sikap) demikian itu juga baik baginya.
(Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim)

SYARAH AL HADIS:
Cubaan sesuai dengan kadar iman:
Sudah menjadi fitrah kehidupan dan tabiat manusia di dunia ini mengalami kesusahan dan cubaan. Adalah mustahil bagi mereka untuk menghindarkan diri daripadanya seperti kesempitan hidup, kematian orang yang di kasihi, kedegilan anak-anak, kecurangan suami, kederhakaan isteri, tekanan pihak pihak tertentu, penganiayaan, penghinaan, fitnah, ditimpa sakit dan lain-lain lagi.

Kalaulah itu semua sudah menjadi "Sunnah Allah" (undang undang Allah) dalam kehidupan secara umum dan untuk semua manusia, maka para Rasul secara khusus adalah orang-orang yang paling banyak menghadapi cubaan dan ujian. Mereka mengajak umat ke jalan Allah, tetapi justeru mereka diperangi oleh Pendakwah Pendakwah ke jalan syaitan. Mereka ingin menegakkan kebenaran (Al Haq) tetapi justeru mereka ditentang oleh penegak-penegak kebatilan. Mereka menuntun umat kepada kebaikan, tetapi mereka selalu dihalang oleh orang-orang yang ingin membawa umat kepada kejahatan. Mereka ingin membawa kepada ma'ruf tetapi mereka ditentang oleh penyebar kemungkaran.

Begitulah gambaran corak kehidupan yang dialami oleh para rasul sebagai penegak kebenaran diatas muka bumi ini. Mata rantai pertembungan antara Haq dan Batil itu tidak akan berakhir hingga ke Hari Kiamat. Adalah sudah menjadi Sunnah Allah ; Allah menjadikan pasangan antara Adam dan Iblis, Ibrahin dan Namrud, Musa dan Fir'aun, Nabi Muhammad SAW dan Abu Jahal. Allah berfirman:
Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan (dari jenis) jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah untuk menipu (manusia). (Al An'aam: 112)

Demikianlah keadaan yang dihadapi oleh para rasul. Para pendakwah dan penegak kebenaran hendaklah menyedari akan hakikat ini bahawa selagi mereka terus bergerak cergas ingin memperjuangkan kebenaran sebagaimana yang diperjuangkan oleh para rasul maka mereka mesti akan mengalami keadaan serupa sebagaimana yang pernah menimpa para rasul.

Daripada Sa'id Bin Abi Waqqas, katanya : Aku bertanya Ya Rasulallah , siapakah orang yang paling banyak mendapat cubaan ? Baginda Rasul SAW. menjawab: Para Nabi, kemudian yang semisal dengan mereka (menurut kwaliti keimanan). Manusia akan dicuba sesuai dengan (kekuataan) agamanya (masing-masing), sekiranya (pegangan) agamanya kuat maka akan lebih beratlah cubaannya dan sekiranya agamanya tipis (kurang kuat pegangan agamanya) maka Allah akan mencuba manusia sesuai dengan (kadar) agamanya. (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Tarmizi. Menurut Tarmizi: Hadis Hasan Sahih)

Orang yang cepat panik:
Kenyataan seharian menunjukkan bahawa orang-orang yang paling lekas panik jika ditimpa cubaan adalah orang yang tidak beragama, orang yang ragu-ragu, tidak mempunyai pendirian dan tidak mantap keimanannya terhadap Allah dan Hari Pembalasan. Allah telah menggambarkan manusia jenis ini dalam Al Quran di dalam firman-Nya , anataranya :
Dan jika kami rasakan kepada mereka suatu rahmat (nikmat) dari Kami, kemudian rahmat itu Kami cabut daripadanya, pastilah dia menjadi putus asa lagi tidak berterima kasih. (Hud: 9)

Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Allah dengan berada ditepi (tidak dengan penuh keyakinan); maka jika ia memperoleh kebajikan, maka tetaplah ia dalam keadaan itu (tenang), dan jika ia ditimpa oleh suatu bencana, maka berbaliklah ia kebelakang (kembali kafir lagi). Rugilah ia di dunia dan di akhirat. Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata (Al Hajj: 11)

Mengapa keadaan mereka demikian? Kerana mereka tidak percaya kepada Allah, yang dengannya dapat menenteramkan jiwa kerana semua perbuatan Allah mengandungi hikmah; mereka tidak percaya pada Takdir, yang dengannya mereka boleh redha menghadapi semua keadaan yang menimpa; mereka tidak beriman kepada para Rasulullah saw, yang dengannya mereka dapat mengambil teladan dan pengajaran; mereka tidak beriman kepada Hari Akhirat, yang dengannya boleh mendorong mereka untuk tabah di sini demi ganjaran yang lebih besar di alam sana.

Kehidupan manusia yang mempunyai ciri-ciri di atas tidak ubahnya bagaikan kapal tanpa kemudi. Terombang-ambing dilanda ombak tanpa arah, tak tahu ke mana hendak dituju. Sebagaimana kemungkinan besar kapal tersebut akan pecah dan tenggelam, begitulah nasib yang bakaI diterima oleh mereka yang tidak beriman.

Beberapa faktor mengapa orang beriman dapat bersikap tabah:
Adapun orang-orang yang beriman, mereka adalah orang-orang yang paling tabah dalam menghadapi berbagai cubaan. Ada beberapa faktor yang menyebabkan orang-orang yang beriman dapat bersikap tabah, cekal dan teguh pendirian ketika ditimpa bencana, antaranya ialah:
Mereka yakin bahawa bencana yang menimpa adalah telah termaktub sejak azali di Luh Mahfuz.
Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuz) sebelum Kami menciptanya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Al Hadid: 22).

Mereka sungguh yakin bahawa bencana yang menimpa dalam urusan dunianya adalah lebih baik jika dibandingkan bencana yang menimpa dalam urusan agamanya.
Atas sebab itulah maka Nabi Yusuf ketika diberi pilihan apakah mendapat bencana duniawi iaitu dipenjara, ataukah mendapat bencana pada agamanya iaitu memperturut nafsu wanita yakni berzina, maka Nabi Yusuf AS lebih memilih bencana duniawi iaitu dipenjara daripada bencana yang menimpa agamanya. Allah mengisahkan di dalam Al Quran:
Yusuf berkata: " Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku ". Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang orang yang bodoh. (Yusuf: 33)

Dan atas sebab inilah maka Nabi SAW telah mengajar umatnya supaya berdoa:
Ertinya: Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan bencana menimpa pada agama kami, dan janganlah Engkau jadikan dunia ini menjadi keutamaan kami dan sebagai batasan bagi ilmu kami. (HR Tarmizi dan Al Hakim)

Allah berjanji akan senantiasa bersama dan membantu orang-orang yang sabar. Firman-Nya:
"Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar". (Al Baqarah :2: 153)
Mereka yakin bahawa bencana yang menimpanya itu adalah pertanda kasih sayang Allah kepadanya. Nabi bersabda:
" Sesungguhnnya besar ganjaran berdasarkan besarnya cubaan, dan sesungguhnya Allah swt jika Dia mengasihi suatu kaum lalu Dia timpakan bencana pada mereka, oleh sebab itu siapa yang reda maka untuknya keredaan Allah, dan siapa murka maka untuknya kemurkaan Allah ". (HR Tarmizi dan Ibnu Majah)
Allah menyediakan ganjaran yang amat besar (tanpa batas) untuk orang-orang yang sabar. Allah berfirman :
"Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas". (Az Zumar: 10)

Setiap bencana yang menimpanya walaupun bencana yang kecil maka Allah SWT akan menghapuskan dosa dosanya.
Sabda Nabi SAW.:
"Tidaklah sesuatu yang menimpa Muslim, samada rasa penat, sakit, sedih, gundah, ganngguan, gelisah, sehingga ditusuk duripun, melainkan Allah tutupi dengannya kesalahan kesalahannya". (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)
Pernah seorang yang saleh tersandung kakinya dengan sesuatu yang tajam. Dia tidak merintih dan mengeluh kesakitan malahan sebaliknya dia tersenyum dan istirja' (Inna Lillah Wa Innaa Ilaihi Raji'uun). Lalu kepadanya ditanya: Tuan tesandung sesuatu yanq menyakitkan, mengapa Tuan tidak merintih? Orang saleh itu menjawab: Sesungguhnya kemanisan ganjarannya telah membuat aku lupa kepada kesakitannya.

...segala yg baik dari Allah & yg tidak baik dari diri yg lemah ini... sedikit coretan at 12:05 pm by ~iman~comment


Kajian Kesan Solat Tahajud ke atas Pesakit Pinggang Wanita...
Assalamu'alaikum, nak iklankan berkenaan Kajian Kesan Solat Tahajud ke atas Pesakit Pinggang Wanita...
Solat Tahajud
Solat Tahajud merupakan solat sunat yang utama selepas solat fardhu. Allah SWT berfirman bermaksud:
“Dan pada sebahagian malam, lakukanlah salat tahajud (sebagai suatu ibadah) tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji” (Quran 17:79)
Solat tahajud yang dikerjakan dengan ikhlas mampu mengurangi beban kejiwaan yang sedang menyelimuti seseorang, menenangkan jiwa dan seterusnya menguatkan spiritual.
Sabda Nabi saw:
“Hendaklah kamu mendirikan solat tahajud, kerana ia menghapus segala kesalahan dan dosa, kebiasaan orang-orang soleh sebelummu dan pengubat penyakit dari tubuh” (HR Tarmidzi, no.3549; al-Baihaqi dalam as-Sunan al-Kubra’, no. 4691,4693; Ibnu Khuzaimah, no. 1135)
Sakit pinggang
Sakit pinggang merupakan masalah yang biasa berlaku terutamanya dikalangan orang-orang yang bekerja. Sakit pinggang ditakrifkan sebagai kesakitan dan ketidakselesaan di bawah rongga toraks sehingga pinggul sama ada kesakitan dirasai sehingga ke kaki ataupun tidak. Sakit pinggang boleh dikategorikan kepada 3 jenis mengikut tempoh masa kesakitan yang dialami: i) akut –sakit pinggang yang hadir tidak lebih 6 minggu ii) sub-akut— sakit pinggang yang hadir antara 6-12 minggu iii) kronik—sakit pinggang yang hadir melebihi 12 minggu....
Justeru itu, tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk menyingkap kelebihan solat tahajud dari perspektif kesihatan tubuh.
Objektif Kajian:
Mengkaji kesan solat tahajud dalam mengurangkan sakit pinggang yang dialami oleh peserta.
Kriteria peserta:
Wanita yang memenuhi kriteria di bawah amat digalakkan
menyertai program ini:

1. Umur di antara 20 hingga 55 tahun
2. Wanita yang sedang mengalami sakit pinggang sekurang-kurangnya selama 6 minggu

Procedure:
1. Peserta akan menjalani pemeriksaan sakit pinggang dengan menggunakan elektromiograf (EMG) yang berfungsi untuk mengesan aktiviti otot.
2. Peserta juga akan melalui terapi pemulihan (dengan mengerjakan solat tahajud) untuk mengurangkan sakit pinggang yang sedang dialami.
3. Pemeriksaan menggunakan EMG akan dilakukan sebulan sekali selama 3 bulan.

sesiapa yang berninat & ingin mengetahui maklumat lanjut & juga untuk mendapatkan borang pendaftaran, boleh klik pada brochure Kajian Kesan Solat Tahajud @ bole juga hubungi:
Siti Hajar Othman
Kejuruteraan Bioperubatan
Fakulti Kejuruteraan
Universiti Malaya
No. Telefon: 017-2468516
No. Pejabat: 03-7967 4486
Fax: 03– 7967 4579
E-mail: ct_jaja5@yahoo.com

0 Your Thoughts:

Post a Comment

<< Home